'Mengapa tiada tindakan pada laporan ISMA?'
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menuntut polis menjelaskan status aduan mereka berhubung ke atas DAP atas kenyataan penasihat parti itu Lim Kit Siang yang mendakwa NGO pro-Melayu tersebut cuba merosakkan perpaduan kaum.
Peguam NGO itu, Tuan Muhammad Luttfi Abd Khalid dalam satu kenyataan di laman web ISMA berkata ketua polis negara perlu menjelaskan status laporan berkenaan untuk mengelak dilihat mengamalkan pilih kasih.
Katanya, laporan polis ke atas DAP dan Lim dibuat lebih dua bulan berlalu namun masih tiada tindakan sedangkan presiden mereka Abdullah Zaik Abd Rahman sudahpun didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan.
“Presiden ISMA disiasat dan didakwa dengan segera. Mengapa laporan polis terhadap DAP dan Kit Siang tidak ada tindakan? Adakah pihak polis amalkan dakwaan terpilih?,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada tuduhan ke atas Abdullah Zaik atas kenyataan bertajuk ‘Kedatangan pendatang Cina dan penjajah British di Tanah Melayu satu bentuk pencerobohan’ yang disiarkan di laman web NGO berkenaan.
Kenyataan Lim yang tidak dipersetujui ISMA itu pula merujuk kepada ucapan MP tersebut dalam satu perhimpunan di Dataran Merdeka, 4 Mei lalu.

