Tiada masalah MB wanita, kata Mahathir
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad berkata tiada masalah untuk mana-mana wanita menjadi pemimpin.
Beliau menyatakan negara Islam tidak membezakan pemimpin dari segi jantina sebaliknya kebolehan.
"Kami tidak membezakan antara lelaki dan wanita. Kalau mereka (rakyat) nak wanita (jadi pemimpin) mereka akan mendapat wanita.
"Kita lihat ia berlaku di banyak negara Muslim," kata beliau ketika diminta memberi komen mengenai Selangor bakal mendapat menteri besar wanita.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Qan Ismail dispekulasikan sebagai bakal MB baru menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim susulan kritikan parti PKR terhadap beliau.
Mahathir bagaimanapun tidak mengulas secara langsung mengenai kenyataan peguam Umno Datuk Hafarizam Harun yang menyatakan Wan Azizah tidak boleh menjadi MB kerana perempuan mempunyai kesukaran menghadiri majlis keagamaan bersama sultan kerana datang haid.
Beliau ditemui ketika melancarkan kempen "Drive For Gaza" (Pandu untuk Gaza) di Proton Center of Excellence, Shah Alam hari ini.
Tak perlu tunggu OIC
Bekas PM ini turut meluahkan kekecewaan terhadap Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang seolah berdiam diri dengan isu Gaza.
Bagaimanapun Mahathir menyatakan negara Islam lain patut mengambil tindakan memberi bantuan tanpa menunggu OIC.
"Saya berpendapat bahawa tak perlu tunggu OIC. Negara ahli yang bersependapat boleh buat kumpulan lima, enam atau 10 negara bersetuju untuk ambil tindakan (ke atas krisis Gaza).
Mahathir berkata beliau menyokong usaha NGO Malaysia yang mahu membawa doktor dan sukarelawan membantu penduduk Gaza dan berharap Mesir bawah pentadbiran baru membuka pintu masuk untuk bantuan.
"Yang penting ialah di pintu masuk Rafah dibuka... kadangkala kita dapati Mesir tak benarkan pelawat dan bahan bantuan masuk ke Gaza.
"Saya harap kerajaan baru Mesir ni beri lebih kerjasama hanya untuk hantar makanan dan ubat-ubatan yang diperlukan oleh rakyat Gaza," kata beliau.

