'DAP perbesar cerita isu pusat jagaan gelandangan'
Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata DAP hanya cuba mempolitikkan isu warga gelandangan kerana mendakwa kerajaan enggan membenarkan wakil parti itu melawat pusat jagaan untuk golongan itu.
Beliau menjelaskan, beliau dan kakitangannya sibuk dengan acara Ramadan dan bukannya mahu menghalang kunjungan MP Serdang Ong Kian Ming.
Rohani ketika dihubungi Malaysiakini turut mempertahankan pendiriannya bahawa ahli politik Pakatan Rakyat boleh melawat pusat tersebut.
“Bukannya kami tidak mahu jawab, kami sedang mencari masa sesuai untuk memberi maklum balas mengenai cadangan tarik untuk kunjungan itu kerana saya juga ingin berada di situ,” kata MP Batang Lupar itu.
Katanya, Ong cuba memperbesar-besar perkara itu dengan mengeluarkan kenyataan media, sedangkan permohonan itu hanya baru dibuat beberapa minggu lalu.
“Hanya kerana sekali atau dua kali saya tidak jawab, tidak bermakna saya tidak peduli. Janganlah perbesar-besarkan isu,” katanya.
Katanya, kenyataan yang mengumpamakan Ops Qaseh seperti ISA juga satu merupakan kata-kata “kesat” yang mempolikkan isu tersebut.
“Banyak salah faham berhubung (Ops Qaseh), ianya sangat berbeza dengan ISA. Kami berada di sini untuk menolong orang, bukan mengurung mereka dalam penjara,” katanya.
Belum jawab
Terdahulu, Ong dalam kenyataannya mendakwa Rohani tidak menjawab permohonannya bertarikh 23 Jun untuk mengunjungi rumah jagaan untuk golongan gelandangan di Sungai Buloh, Selangor
Beliau berkata, Rohani memberitahu pemberita bahawa ahli politik Pakatan boleh berkunjung, tetapi permohonannya untuk melawat pada 7 Julai masih belum berjawab.
“Sehingga hari ini, walau menteri berjanji dalam laporan The Star untuk mengalu-alukan kedatangan kami untuk melihat, saya masih belum menerima jawapan positif,” dakwanya.
Ong mendakwa, lawatan itu bagi memastikan warga yang dijaga di Desa Bina Diri akan dijaga dengan rapi dengan kemudahan memuaskan.
Kunjungan itu juga bagi meneliti keperluan seperti dokumentasi, pekerjaan, jagaan kesihatan dan perkembagan warga itu diawasi oleh pihak berkuasa.
Ong juga menekankan keperluan untuk membuat kunjungan segera selepas mendapat laporan yang mendakwa terdapat individu yang ditahan tanpa kerelaan mereka.
Laporan The Malay Mail Online semalam melaporkan terdapat individu yang merayu untuk dibebaskan dan tidak dibenarkan pulang semasa musim perayaan.
Laporan itu mendakwa serana 34 orang ditahan di tempat itu sebagai langkah sementara sebelum dipindahkan ke pusat kebajikan atau pusat di luar Kuala Lumpur.

