Najib: M'sia tidak akan tuding jari
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetap dengan pendirian bahawa Malaysia tidak akan menyalahkan mana-mana pihak walau pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh.
“Sekalipun ia dipercayai ditembak jatuh namun buat masa ini kita tidak menuding jari pada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat diabsahkan.
“Walau apapun kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, perbuatan ganas dan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.
Katanya, beliau turut menyampaikan tiga tuntutan Malaysia kepada presiden Rusia, Vladimir Putin dan juga setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon:
- Jaminan keselamatan kepada pasukan penyelamat Malaysia
Kedua-dua pihak bertelagah, kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah Republik Rakyat Donetsk (DPR), saling tuduh-menuduh di antara satu sama lain sebagai pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat membawa 298 orang, termasuk dua orang bayi itu.
Obama tuduh pemisah pro-Rusia
Dalam perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung melalui stesen RTM, Najib berkata satu sidang tergempar Parlimen akan diadakan untuk mengutuk serangan ke atas pesawat tersebut, yang membawa 43 warga kita.
"Bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia saya putuskan akan memanggil sidang parlimen tergempar bagi menguutuk tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut,'' katanya.
Katanya, seluruh negara akan berkabung bermula pada malam ini hingga Isnin dengan mengibarkan bendera separuh tiang di bangunan kerajaan seluruh negara atas tragedi tersebut.
Bagaimanapun, presiden Amerika Syarikat Presiden Barack Obama dalam nada lebih tegas berkata, beliau yakin pesawat MH17 ditembak jatuh dari kawasan dikawal oleh pemisah yang disokong Rusia.
"Kami amat yakin dalam mengatakan bahawa peluru berpandu dari darat ke udara ditembak dan ia menyebabkan pesawat itu terhempas.
“Kami yakin dalam mengatakan bahawa tembakan itu datang dari wilkayah yang dikawal oleh pemisah disokong Rusia,” katanya.
Obama dalam ucapan yang disiarkan secara langsung, tidak lama selepas ucapan Najib, berkata pihak yang terlibat mengarahkan serangan tersebut masih belum dikenalpasti.
Beliau turut mengesahkan sekurang-kurangnya seorang warga AS menaiki pesawat malang itu.

