Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyediakan dua pesawat jenis Hercules C130 untuk membawa balik mayat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada Khamis.

    

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata pesawat itu turut digunakan untuk membawa anggota tambahan TUDM ke Ukraine bagi membantu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).

    

"Pesawat ini kita siap sedia dan akan digunakan sekiranya diperlukan untuk melaksanakan tugas," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Panglima ATM Bersama Warga TUDM dan Kolej TUDM di Kepala Batas dekat Alor Setar malam tadi.

Beliau berkata pihaknya juga akan menambah 30 lagi anggota TUDM untuk membantu pasukan penyelamat yang telah berlepas ke Ukraine sebelum ini dengan 10 anggota perubatan.

    

Katanya pihaknya turut menghantar dua anggota dari Kor Agama ATM bagi membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menguruskan jenazah penumpang beragama Islam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kesemua mayat warga Malaysia mangsa tragedi MH17 yang telah dikenalpasti, dibawa pulang dan disemadikan di tanah air.

    

Najib juga mahu supaya kesemua mayat mangsa tragedi itu dapat dikeluarkan dari kawasan kejadian di wilayah Donetsk, di Timur Ukraine sebelum Hari Raya Aidilfitri.   

    

"Ini pendirian kita (Malaysia) dan telah saya nyatakan kepada keluarga penumpang MH17 dalam pertemuan semalam di Marriot Putrajaya.  

    

"Sebagai seorang pemimpin, tiada peristiwa yang begitu menyayat hati berbanding apa yang saya alami semalam. Isteri kehilangan suami, bapa kehilangan anak. Bayangkan perasaan mereka yang sudah tentu mengalami satu kehilangan yang tak boleh digambarkan," katanya.

    

Najib berucap menutup Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri di ibunegara semalam.  

    

Perdana Menteri sekali lagi mengulangi tuntutan agar pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 dibawa ke muka pengadilan.

    

"Kita akan lakukan apa sahaja. Kita akan desak Badan Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, akan desak masyarakat antarabangsa untuk tidak biarkan peristiwa ini berlalu tanpa ada tindakan untuk hukum mereka yang jadi penjenayah kepada mereka yang tidak berdosa sama sekali," tegasnya.  

    

Seramai 43 warganegara Malaysia merupakan antara 298 penumpang penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bila ia dipercayai ditembak jatuh di wilayah Donetsk.

Pesawat itu meninggalkan Amsterdam pada Khamis 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari Jumaat.

    

Najib pada awal Jumaat berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh, dan Malaysia akan berusaha menyiasat punca sebenar pesawat terhempas.

Najib dalam pada itu menyelar percaturan geopolitik sesetengah negara yang akhirnya menyebabkan rakyat Malaysia yang tidak berdosa menjadi mangsa.  

    

"Inilah akibatnya kalau ada konflik. Apa juga bentuk konflik yang tidak boleh diselesaikan dengan rundingan, dengan aman. Akhirnya siapa yang jadi mangsa?" katanya.

    

Justeru, Perdana menteri mengajak rakyat Malaysia bersyukur dan terus mempercayai pihak yang dapat menjamin masa depan dan mengekalkan keamanan negara.

    

Najib menyertai lebih 5,500 warga Wilayah Persekutuan berbuka puasa sebelum menunai solat Maghrib berjemaah di masjid berkenaan.

    

- Bernama