Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berlepas ke Ukraine dalam usaha mendapatkan akses untuk pasukan penyiasatan Malaysia memasuki kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di bahagian timur negara itu, Khamis lepas.

    

Anifah dan delegasi dari Wisma Putra berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jamm 12.30 tengah malam tadi.

    

Beliau dijadual bertemu dengan pemimpin-pemimpin Ukraine Khamis ini dalam memastikan usaha-usaha menyelaras misi membawa keluar jasad mangsa tragedi, siasatan dan mengumpul bukti kejadian berjalan lancar.

    

'Biar saya mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan saya akan menyediakan perkembangan terbaru kemudian. Biar kita harap satu hasil yang positif," kata Anifah ketika ditemui sebelum berlepas.

    

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan delegasinya sudahpun berada di ibu negara Ukraine, Kiev, untuk tujuan sama.

    

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu permukaan ke darat, kira-kira 50km dari sempadan Rusia.

    

Kesemua 298 penumpang termasuk 15 anak kapal pesawat Boeing 777-200ER terkorban dalam kejadian yang berlaku di wilayah Donetsk, yang dikawal oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Solat hajat

Pasukan siasatan khas Malaysia mengadakan solat hajat bagi memperoleh laluan mudah untuk memasuki kawasan pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine.

    

Solat diketuai Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat selepas berbuka puasa malam tadi.

    

Pasukan itu yang terdiri daripada 130 anggota dari pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Kementerian Kesihatan, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia, pihak tentera dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tiba di Kiev pada Sabtu.

    

Sehingga hari ini, usaha mereka untuk memasuki kawasan nahas menerusi usaha rundingan antara kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-Rusia masih belum berhasil.

    

Tekanan antarabangsa semakin memuncak bagi mendesak puak pemberontak memberi laluan kepada pasukan siastan antarabangsa termasuk dari Malaysia untuk melakukan siasatan dan segera membawa keluar mayat penumpang dan anak kapal

pesawat Malaysia Airlines (MAS) malang itu.

- Bernama