Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usaha jadikan Belum tapak warisan dunia

Kerajaan negeri Perak sedang bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk membolehkan Taman Negeri Diraja Belum (Royal Belum) diberi pengiktirafan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata jika usaha itu berjaya, Perak bakal mempunyai dua tapak warisan dunia selepas daerah Lenggong yang sinomin dengan rangka manusia zaman pubra 'Orang Perak' atau 'Perak Man'.

"Bukan sahaja dua dalam negeri tetapi dua lokasi dalam daerah kluster pelancongan Lenggong/Gerik. Usaha telah dimulakan oleh jabatan berkenaan dan dijangka borang senarai sementara akan dihantar kepada UNESCO sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya borang tersebut merupakan syarat sebelum penghantaran dokumen lengkap kepada pertubuhan dunia itu.

Nolee Ashilin menyifatkan usaha untuk merealisasikan Royal Belum sebagai Tapak Warisan Dunia itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan ia memerlukan satu kajian terperinci dijalankan sebelum boleh diterima badan dunia tersebut.

Pada 9 Mei lepas, ketika merasmikan fasa kedua Belum Rainforest Resort di Gerik, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak dan agensi berkaitan mengkaji sama ada Hutan Hujan Belum-Temenggor boleh diberi pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Beliau berkata sekiranya hutan berkeluasan 300,000 hektar itu memenuhi kriteria sebagai tapak warisan dunia, maka kerajaan akan berusaha untuk membangunkan kawasan itu, sekali gus dapat meningkatkan kunjungan pelancong ke hutan yang dipenuhi pelbagai spesies flora dan fauna itu.

Taman Negeri Royal Belum boleh dikatakan hutan belum terusik, masih suci dan dipercayai berusia lebih 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan hujan Amazon di Amerika Selatan dan hutan Congo di Afrika Tengah.

Royal Belum dengan keluasan 117,500 hektar diwartakan sebagai taman negeri pada 3 Mei 2007 dan merupakan kawasan perlindungan kepada 14 hidupan terancam seperti Harimau Malaya, Beruang Matahari, Badak Sumbu Sumatra, gajah dan tapir.

- Bernama

Lihat Komen
ADS