Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti itu hanya akan bertindak ke atas pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki berdasarkan aduan dari sumber parti itu dan bukannya dari pihak luar.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Mustafa mendakwa masih belum mengetahui mengenai dakwaan pengarah strategi PKR Rafizi Ramli ke atas Zuhdi yang memaksa PAS bertindak ke atas anggotanya itu.

“Saya tak baca apa benda dia punya alasan. Kita tak ambil tindakan daripada orang-orang luar cakap.

“Tindakan disiplin dibuat berdasarkan laporan dalam kalangan ahli PAS sendiri,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar milik Umno itu.

Tegasnya, isu PAS meninggalkan Pakatan Rakyat tidak berbangkit kerana presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mursyidul amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertegas bahawa Umno merupakan pihak lawan kepada parti itu.

Sementara itu, laporan The Star menyebut, PAS setakat ini masih belum menghubungi Umno Selangor untuk membincangkan kemungkinan untuk kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.

Setiausaha Umno negeri Johan Abdul Aziz berkata masih belum ada pemimpin PAS yang menemuinya.

ADUN Semenyih itu juga percaya bahawa gambar menunjukkan perbincangan di kalangan pemimpin PAS itu hanyalah perbualan biasa.

Beliau merujuk kepada kenyataan Zuhdi dalam perbincangan itu, yang didakwa menggambarkan kemungkinan PAS untuk bekerjasama dengan Umno.

Johan berkata ia mungkin hanya pandangan peribadi Zuhdi.