Mayat wanita ditemui terbakar di tandas
Mayat dipercayai seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan terlentang dan terbakar di sebuah tandas
wanita di Pasar Besar Kulim, di Kulim hari ini.
Mayat yang masih belum diketahui identiti itu ditemui kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata orang awam yang mengunjungi pasar berkenaan ternampak api sedang marak dari sebuah tandas awam di pasar itu.
"Orang ramai dikatakan telah memadamkan api yang membakar seluruh tubuh wanita berkenaan namun tidak dapat menyelamatkan mangsa yang keseluruhan badannya telah terbakar lalu mereka membuat panggilan kecemasan kepada pihak Bomba dan Penyelamat di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.
Abdullah berkata polis sedang menyiasat punca kejadian tersebut dan sedang mengenal pasti identiti mangsa.
Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang kehilangan saudara mara untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim yang diketuai Ketua Balai itu Ghazali Mahmud bersama enam anggota mendapati mayat mangsa telah terbakar teruk ketika pasukan itu tiba di tempat kejadian dan tiada pengenalan diri mangsa yang ditemui di lokasi.
"Pihak kami turut menjumpai sebuah botol plastik kosong ada kesan bau petrol dan kotak mancis di tandas berkenaan," katanya.
Sementara itu, mayat kanak-kanak lelaki yang hilang dalam nahas di Sungai Kakano, Batu 9 Jalan Kalabakan-Keningau, dekat Tawau Isnin lepas ditemui pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata mayat Mohd Ryan Firdaus berusia satu tahun tujuh bulan, ditemui orang awam kira-kira 14 kilometer dari lokasi kejadian nahas itu.
"Mayat mangsa itu ditemui pada pukul 9 pagi berhampiran loji air Kampung Ulu Murut, Kalabakan dan mayat mangsa dalam keadaan reput," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk dibedah siasat dan berikutan penemuan itu pihaknya telah menutup operasi di tempat kejadian pada pukul 1 petang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam Isnin lepas itu, tiga orang maut manakala Mohd Ryan dilaporkan hilang selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Sungai Kakano, Batu 9 Jalan Kalabakan-Keningau.
Mereka yang terbunuh dalam kejadian itu dikenali sebagai Fatmawati Mustafa, 38, Riduan Sabtula, 47, dan Najar Abdul, 36.
- Bernama

