BERITA

Video dakwa 'sukaneka bogel' di P Pinang

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Ogs 2014, 9:09 pagi

Beberapa blog Umno menjadikan satu video berhubung kegiatan berbogel bertajuk ‘Penang Nudist Sports Games 2014 in Teluk Bahang’ sebagai modal untuk menuduh kerajaan Pulau Pinang terlibat dengan aktiviti keji.

Salah satu blog tersebut turut menuduh Ketua Menteri Lim Guan Eng menggalakkan kegiatan tersebut, dengan mengaitkan hubungan rapat di antara Lim dan menteri pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Tuduhan tersebut merujuk kepada kemunculan Nazri di Pulau Pinang untuk mempromosi Festival George Town, dan dirakam bersama Lim dalam suasana mesra.

Video kontroversi yang tersebar di Internet itu pula menunjukkan kegiatan nudis, yang antara lainnya membuat aktiviti mengecat badan, dan pertandingan menari dan sukaneka dalam keadaan bogel.

Bagaimanapun, ADUN Teluk Bahang, Shah Headan Ayoob Hussain berkata beliau bagaimanapun tidak akan sewenang-wenangnya menuduh DAP bertanggungjawab di sebalik kegiatan komuniti bogel itu.

"Kita perlu memastikan sama ada acara ini betul atau tidak, jangan kita politikkan isu ini, sebab tiada parti politik yang akan menerima acara seperti ini.

“Latar belakangnya seperti Taman Negara Hutan Simpan di Teluk Bahang, jadi kita bimbang video ini mungkin diolah semula, tapi kita akan siasat,” katanya kepada Malaysiakini.

Siasat rekod Taman Negara

Shah Headan berkata beliau sudahpun meminta pihak berkuasa Taman Negara menyiasat perkara tersebut dan meneliti rekod pendaftaran mereka untuk memastikan jika terdapat mana-mana kumpulan yang dilihat menganjurkan acara nudis seperti ditunjukkan dalam video berkenaan.

Beliau mengesyaki acara tersebut berlangsung kira-kira tiga bulan lalu. Proses untuk memeriksa rekod tersebut mungkin memakan masa kerana lokasi tersebut menerima 50,000 pengunjung

Beliau turut menggesa agar individu yang bertanggungjawab merakam video tersebut tampil ke hadapan untuk menjelaskan perkara itu.

Shah Headan berkata acara tersebut tidak mungkin dijalankan secara rahsia atau di lokasi eksklusif memandangkan kawasan Hutan Simpan Taman Negara itu boleh dikunjungi pihak awam.

"Jika ini benar, kita akan membuat laporan sewajarnya pada polis. Kita juga mahu video ini dipadamkan kerana ia bukan saja menjejaskan Pulau Pinang tetapi juga Malaysia secara keseluruhannya.

"Kita juga melihat undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa penganjur, sekiranya kejadian tersebut benar-benar berlaku,” katanya.

Pulau Pinang serah pada polis

Sementara itu, ketua menteri dalam kenyataannya hari ini menyebut, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan penganjuran kegiatan “salah” seperti perkhemahan aktivis bogel itu.

Lim yang mengaku belum menonton video tersebut berkata, kawasan Taman Negara yang didakwa menjadi lokasi kegiatan tersebut tertakluk bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah meluluskan kasino sekalipun di sini, bagaimana kami boleh luluskan perkara yang salah seperti perkhemahan nudis,” katanya dalam satu sidang media.

Beliau seterusnya menyerahkan perkara itu untuk ditangani pihak polis.

“Jika mereka orang Islam, kita serahkannya pada pihak berkuasa agama dan polis, jika bukan Islam, biarlah polis bertindak,” katanya.

[Baca berita penuh]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.