Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali meneruskan kempen yang berlarutan di media pro-Umno agar calon dari PAS dilantik sebagai menteri besar untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ibrahim berkata, PAS yang diwakili oleh 15 orang ADUN lelaki yang juga anak jati Selangor pastinya sukar menerima wanita sebagai menteri besar.

"(Seramai) 15 orang ADUN PAS, ada yang berwibawa, berakhlak baik dan mungkin diterima baik oleh baginda Sultan Selangor.

"PAS pasti sukar menerima wanita menjadi menteri besar," katanya.

Kenyataannya itu merujuk kepada kontroversi yang timbul bulan lalu, susulan kenyataan seorang anggota Umno bahawa wanita tidak sepatutnya menjadi menteri besar.

Ibrahim Ali juga memberi alasan bahawa Pakatan bersetuju melantik menteri besar dari kalangan ADUN PAS di Perak selepas pilihan raya umum 2008.

"Di Perak dulu, Pakatan menerima calon PAS jadi menteri besar. Maka tidak ada alasan untuk tidak terima calon PAS jadi menteri besar Selangor.

"Anwar dan pemimpin PKR tidak berjuang untuk kepentingan peribadi sebagaimana dakwaan selama ini. Jadi terimalah calon PAS jadi menteri besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim juga berpendapat, keadaan politik di Selangor juga akan kembali stabil sekiranya calon daripada PAS menjadi menteri besar.

Beliau seterusnya meminta Pakatan mencari formula bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul di negeri itu demi  kepentingan rakyat.

Katanya lagi, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan bukanlah hak mutlak untuk dikuasai oleh PKR, DAP dan PAS, masing-masingnya.

"Bila ada masalah, maka carilah formula untuk kepentingan rakyat," katanya lagi.