Umno: Jangan terpedaya dengan jelitawan DAP
Seorang anggota majlis tertinggi Umno memberi amaran kepada golongan anak muda Melayu agar tidak terpedaya dengan tindakan DAP yang menggunakan jelitawan muda sebagai tarikan untuk menyertai parti tersebut.
Irmohizam Ibrahim, yang juga MP Kuala Selangor dalam laporan portal Umno Online menyebut, taktik DAP yang menggunakan wanita Melayu muda itu merupakan “strategi halus” dengan dua sasaran.
Pertama, DAP mahu menarik sokongan golongan muda Melayu dan untuk tujuan kedua, bagi menghadapi kemungkinan bahawa kerjasama dengan PAS dan PKR bakal menghadapi masalah, katanya.
“Dap selama ini bergantung kepada Pas dan PKR untuk mendapatkan sokongan orang Melayu tetapi pada masa yang sama Dap juga sedar mereka tidak boleh bergantung harap kepada kedua-dua parti tersebut semata-mata.
“Justeru sebagai persiapan jangka panjang, Dap kini mencuba taktik mempromosi wanita Melayu muda bagi menarik sokongan pengundi Melayu”, katanya seperti dipetik oleh lidah parti Umno itu.
Beliau merujuk kepada kemunculan pemimpin wanita yang ditonjolkan DAP, termasuk calon pilihan raya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud dan seorang anggota baru parti itu, Young Syefura Othman.
Irmohizam juga berkata, golongan muda Melayu sepatutnya berpandangan jauh dan memahami bahawa DAP hanya mempergunakan anggota Melayu.
“Saya melihat DAP ini sebenarnya sudah semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan golongan Melayu. Oleh itu mereka menggunakan pendekatan ini kerana mereka sedar, golongan muda mudah untuk dipengaruhi.
“Sudah pasti kita tidak mahu melihat negara ini hancur dek kerana kesilapan dan ketaksuban golongan muda yang tidak hati-hati dengan jarum halus DAP ini,” katanya lagi.

