Pergerakan Pemuda Umno Terengganu akan menganjurkankan satu bengkel khusus bagi mengkaji formula dan langkah berkesan untuk menggandakan usaha menangani gejala pelesit jalanan di negeri ini.
Ketuanya Johari Abu Bakar berkata pihaknya akan membentuk kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan penguatkuasaan, kumpulan-kumpulan ‘mat rempit’ serta organisasi belia.
Ianya bagi mencari persefahaman mengatasi masalah pelesit jalanan yang semakin kronik yang melibatkan anak muda di negeri ini.
"Bengkel tersebut akan menghimpunkan sekitar 100 wakil pelbagai pihak termasuk ketua kumpulan mat rempit di mana ketika ini kita sedang mengenal pasti ketua-ketua kumpulan motor ini dan kita akan duduk semeja berbincang bagi mencari penyelesaian dan kaedah terbaik mengatasi gejala ini.
"Kita akan mengambil kira pandangan kumpulan itu terutamanya soal prasarana serta perancangan program-program untuk mereka di mana cadangan ini telah dipersetujui oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya inisiatif yang dilakukan ini adalah bagi mengatasi gejala merempit di kalangan anak muda yang kian meruncing di negeri ini terutamanya pada malam hari sehingga menggangu pengguna jalan raya yang lain.
Katanya kehadiran kumpulan besar mat rempit di beberapa lokasi panas di jalan utama di negeri ini bagaikan hiburan dan aktiviti golongan itu terutama pada hari minggu dengan menunjukkan pelbagai aksi berbahaya untuk dipertontonkan kepada penunggang yang lain.
"Kita berharap satu persefahaman dapat dicapai dan diatasi dengan kadar segera bgai mereka menyalurkan minat mereka ke saluran yang betul dan selamat manakala masyarakat sekitar tidaklah terbeban dengan keadaan itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta ibu bapa memainkan peranan dan mengawal pergerakan anak-anak khususnya pada malam minggu agar mereka tidak terlibat dalam aktiviti merempit sehingga merbahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Beliau berkata kepercayaan dan kemudahan yang diberikan oleh ibu bapa tanpa pemantauan akhirnya disalah guna oleh golongan ini dengan menunjuk lagak samseng di jalanan tanpa pengetahuan orang tua mereka.
- Bernama
