Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sampah: Operasi Loji RDF di Semenyih diaudit
Diterbitkan:  Aug 5, 2014 5:30 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Masalah sampah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dijangka selesai apabila 30,000 tan longgokan sampah di kawasan Loji Bahan Bakar Terbitan (RDF) di Semenyih akan dipindahkan ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung 12.

Kerja memindahkan longgokan sampah itu bermula hari ini oleh syarikat Hebat Abadi yang merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurutnya lagi, syarikat itu akan memindahkan kesemua 30,000 tan longgokan sampah itu berikutan kegagalan RDF menyelesaikan masalah sampah sehingga menimbulkan rungutan penduduk di Kajang.

"Hebat Abadi juga ditugaskan untuk mengutip sampah sekali seminggu bagi mengutip sampah kitar semula.

"Operasi kutipan sampah akan diteruskan seperti biasa iaitu dua kali seminggu bagi sisa pepejal manakala sekali seminggu bagi sampah kitar semula," katanya.

Dalam kenyataannya, Khalid juga berkata keputusan melantik syarikat itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini yang membincangkan isu kutipan sisa pepejal di kawasan MPKj.

Menurutnya lagi, mesyuarat exco juga memutuskan untuk menjalankan audit operasi terhadap loji RDF bagi menentukan keberkesanan pengurangan baki sampah selepas diproses dan menentukan daya maju dan kesinambungan projek itu.

Lantik jurutera

Malah, kata Khalid, pihaknya turut bersetuju supaya kajian menyeluruh dijalankan terhadap tapak pelupusan sampah baru seluas 100 ekar bagi menampung sampah yang tidak mampu diproses di loji itu.

 

"Kita berharap audit ini membolehkan Kerajaan negeri mengenal pasti strategi terbaik bagi menangani masalah sampah di Kajang,” kata Khalid.

Menurutnya lagi, seorang jurutera pakar dalam teknologi RDF akan dilantik secara kontrak bagi menilai teknologi yang digunakan loji itu.

Khalid berkata MPKj juga akan mengambil seorang jurutera pmbersihan khusus untuk menyelesaikan isu berkaitan kutipan dan pelupusan sampah serta kerja pemantauan.

"MMKN juga telah bersetuju supaya perjanjian MPKj dan pengusaha loji RDF perlu dikaji semula untuk menentukan tanggungjawab masing-masing.

"Masalah sampah di MPKj berlaku apabila Loji RDF yang beroperasi pada 2006 tidak mampu memproses sampah yang dipersetujui dalam perjanjian.

"Ini menyebabkan berlaku longgokan sampah di loji itu dan sekali gus menganggu operasi kutipan sampah di kawasan MPKj," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS