Pergerakan Wanita Umno Bahagian Cheras sebulat suara menolak cadangan pewujudan satu lagi kerusi naib presiden Umno untuk diisi oleh sayap Wanita.

    

Ketuanya Datuk Zurainah Musa berkata cadangan itu hangat dibincangkan dalam mesyuarat perwakilan Wanita Umno bahagian berkenaan semalam.

    

"Kita tolak bukan atas dasar suka tolak tetapi melalui fikiran yang rasional bahawa sekiranya diberikan (kerusi) secara percuma, maka orang tidak akan hormat kepada jawatan mahupun orang yang memegang jawatan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    

"Kenapa perlu ditambah satu kerusi khas untuk disandang oleh Wanita sedangkan dengan  keupayaan dan kapasiti yang ada kita juga mampu bersaing untuk menduduki kerusi sedia ada," jelasnya.

    

Wanita Umno sebelum ini dilaporkan membuat permintaan supaya diwujudkan satu lagi kerusi naib presiden untuk disandang oleh wakil daripada sayap parti itu.

Umno kini mempunyai tiga naib presiden bagi membantu presiden melaksanakan dasar-dasar parti.

    

Zurainah seterusnya berkata perkara itu menjadi fokus utama mesyuarat dihadiri 174 perwakilan yang menyokong usul penolakan berkenaan yang dibentang Naib Ketua Wanita Umno Cheras Mariah Jantan.

    

Ditanya mengapa tiada calon Wanita Umno yang bertanding jawatan naib presiden sehingga perlu diadakan satu kerusi khas untuk Wanita, Zurainah berkata:

"Mungkin Wanita belum bersedia atau tidak terlintas untuk bertanding kerana kita tahu jawatan Ketua Wanita Umno adalah setaraf dengan naib presiden."

    

-Bernama