Azmin kekal, Amirudin menang tipis
ADUN Batu Caves Amirudin Shari diundi sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR selepas selesai pengiraan undi semua cabang.
Menurut keputusan tidak rasmi yang diperoleh Malaysiakini , Amirudin (kiri) memperolehi 4,247 undi manakala pencabar terdekatnya, Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad mendapat 4,207 undi.
Manakala seorang lagi calon ketua AMK, Nazree Yunos mendapat 2,195 undi.
Tiga calon naib presiden yang mendapat undi tertinggi ialah penyandang jawatan itu Nurul Izzah Anwar dengan 28,729 undi dan Tian Chua yang meraih 21,421 undi.
Penyandang ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin pula di tempat ketiga dengan 19,828 undi.
Manakala Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (kanan) yang sebelum ini ketingalan kira-kira 200 undi di belakang ADUN Seri Andalas Dr Xavier Jeyakumar, memecut di saat terakhir dan meraih 18,885 undi selepas pemilihan berlangsung di semua 218 cabang PKR.
PKR kemudiannya akan melantik dua lagi naib presiden selepas keputusan rasmi pemilihan diperolehi.
Sementara itu penyandang Timbalan Presiden Azmin Ali mempertahankan jawatannya dengan mendapat 22,557 undi menewaskan Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang hanya mampu meraih 10,742 undi.
Pesaing Azmin, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memberi cabaran sengit sebelum ini telah hilang kelayakan selepas dipecat dari PKR Sabtu lalu.
Azmin (kiri) memenangi jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada 2010 dengan mengalahkan Mustafa Kamil Ayub yang juga bekas naib presiden parti ketika itu.
Manakala Datuk Zaid Ibrahim, seorang lagi pencabar pada pemilihan 2010, menarik diri pada saat-saat akhir.
Dalam persaingan ketika itu, Azmin menang dengan memperolehi 19,543 undi dari 218 cabang PKR.
Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul (kanan) mengumumkan sejumlah 27 cabang seluruh negara digantung berikutan kekecohan dan dakwaan kegiatan penipuan undi.
Semua keputusan rasmi akan diumumkan dalam Kongres Tahunan PKR 2014 yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam 22 Ogos depan.

