Exco DAP, PKR hanya akan temui Khalid esok
Barisan Exco DAP dan PKR tidak akan bertemu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini untuk berbincang mengenai kemungkinan untuk kekal dalam pasukan menteri besar itu.
Menurut satu sumber dari pejabat Exco Selangor, mereka hanya akan bertemu Khalid dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok.
Sumber yang enggan dinamakan menyebut, barisan Exco DAP kini sedang menunggu arahan parti dan tidak akan bertemu Khalid secara individu untuk urusan ini.
"Mereka (exco) akan hadir dalam mesyuarat esok, secara beramai-ramai. Saya diberitahu PKR juga begitu," katanya yang menambah, parti terbabit dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut hari ini.
Khalid semalam dilaporkan akan menemuduga Exco secara individu untuk mengetahui kesanggupan mereka bekerjasama dengan beliau.
Beliau turut memberi kata dua kepada barisan Exco tersebut untuk meletak jawatan sekiranya tidak ingin menyertai pasukan beliau.
Katanya, beliau hanya memerlukan empat orang Exco untuk menjalankan pentadbiran.
Barisan Exco sedia ada kini terdiri dari empat orang wakil PAS dan masing-masing tiga orang dari PKR dan DAP.
Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawir ketika ditemui, memberitahu bahawa mesyuarat Khalid dengan Exco negeri hanya akan berlangsung esok.
"Tak ada mesyuarat hari ini, mesyuarat esok," kata beliau ringkas sebelum menaiki kenderaan meninggalkan bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri Shah Alam.
Exco Datuk Teng Chang Kim turut menyatakan perkara yang sama dan menafikan beliau bermesyuarat dengan Khalid hari ini.
"Notis dah keluar (untuk mesyuarat Exco esok)," kata beliau.

