Teng: Saya masih lagi Exco Selangor
Exco Selangor Datuk Teng Chang Kim dari DAP menegaskan beliau masih lagi Exco Kerajaan Selangor.
Beliau yang ditemui di lobi bangunan Sekratariat Kerajaan Negeri hari ini berkata masih tidak ada arahan dari DAP untuk beliau meletakkan jawatan.
"Saya ikut arahan parti, kalau (suruh) letak jawatan letak jawatanlah. Saya masih dibayar gaji sebagai Exco," kata beliau kepada wartawan di Shah Alam hari ini.
Semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan akan menemuduga Exco secara individu untuk mengetahui kesanggupan mereka bekerjasama dengan beliau.
Khalid juga berkata bahawa mereka boleh meletak jawatan sekiranya tidak ingin menyertai pasukan beliau.
Menurut menteri besar itu, beliau hanya memerlukan empat orang Exco untuk menjalankan pentadbiran.
Teng yang dilihat rapat dengan Khalid selama ini menafikan telah bertemu dengan menteri besar untuk membincangkan sama ada untuk mengekalkan jawatan exco atau tidak.
"Tidak hari ini, saya tidak bertemu menteri besar untuk itu. Saya bermesyuarat dari jam 9 pagi hingga sekarang," kata beliau.
Sementara itu seorang lagi Exco Elizabeth Wong (kanan) hanya berdiam diri ketika ditemui pihak media.
Beliau hanya tersenyum ketika dikerumuni pihak media yang menunggu sejak pagi di lobi bangunan pejabatnya dan terus beredar menaiki kenderaan.
Bagaimanpun seorang pegawainya menyatakan Wong hanya ke pejabatnya untuk bekerja dan bukannya bermesyuarat.

