PKR kesan kain rentang provokatif persoal PAS
Beberapa kain rentang berunsur provokatif dikesan hari ini yang memaparkan "kenyataan" Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang didakwa mengeluarkan ucapan mencabar pendirian sebuah parti dalam Pakatan Rakyat.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata beliau telahpun menghubungi MP Pandan itu dan Rafizi menafikan sekeras-kerasnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Menurutnya, beberapa kain rentang, yang tertulis "Berapa ramai lagi pemimpin PAS yang khianat, rasis dan anti-demokrasi? Sila jangan bermuka-muka", telah digantung di Kuala Selangor.
"PKR mengecam provokasi musuh-musuh politik yang cuba menggunakan situasi yang ada di Selangor pada waktu ini untuk mengangkat agenda politik perkauman sempit mereka.
"Hentikanlah permainan politik kuno sebegini!" kata Fahmi dalam satu kenyataannya hari ini.
Sehubungan itu, kata Fahmi, pihaknya telah mengarahkan anggota parti menurunkan kain rentang yang dianggapnya "penuh fitnah jahat".

