Kabinet sudah bincang pinda undang-undang
Kabinet telah membincangkan untuk meminda undang-undang sedia ada supaya tindakan segera dapat diambil terhadap pihak yang memuatkan kenyataan sensitif di Internet.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberitahu Malaysiakini , perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet minggu lalu.
“Kami mahu memastikan tindakan segera diambil untuk komen-komen sebegitu.
“Kami sedang mengkaji kelemahan dalam menguatkuasa undang-undang serta meminda undang-undang sedia ada supaya tindakan segera dalam diambil segera kepada pihak sebegitu,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad dilaporkan berkata terdapat asas terhadap tanggapan tindakan segera tidak diambil terhadap bukan Melayu berbanding pelaku Melayu.
Katanya, kerajaan sedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebarkan hasutan.
Sementara itu, dalam sidang media sebelum itu, Khairy berkata beliau tidak dapat mengulas isu krisis menteri besar di Selangor kerana hanya perdana menteri dan timbalannya dapat bercakap bagi pihak BN.
Dan katanya, Muhyiddin telah membuat kenyataan berkaitan semalam yang menyatakan sokongan “ikhlas” dan tanpa syarat kepada kepimpinan Khalid dengan mengambil kira beberapa dasar, sebab dan prinsip dan dengan mengetepikan fahaman politik.
Beliau juga tidak melihat terdapat kewajaran perubahan pimpinan sebagaimana yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat Selangor.

