Selepas kempen memulaukan barangan Israel ekoran serangan Palestin pada Gaza, syarikat rangkaian pasar raya besar Tesco Malaysia terus menegaskan bahawa mereka tidak terlibat menyumbang keuntungan kepada negara Yahudi itu.

Selepas mengeluarkan kenyataan penafiannya sebelum ini, Tesco kini memuatkan mesej pop up sama yang dikeluarkan pengarah perhubungan kerajaan dan hal ehwalnya Azlam Shah Alias di laman webnya.

"Kami menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Tesco menyumbang keuntungan kepada Israel," kata Azlam.

Tesco turut disenaraikan dalam kempen memulaukan barangan yang dikaitkan dengan Yahudi selepas peperangan berterusan kumpulan Islam dan Israel di Gaza yang mengorbankan ramai rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam.

Dalam mesej itu juga, Azlam berkata, Tesco Malaysia tidak menyumbang sebarang hasil jualan atau keuntungannya untuk membantu sebarang kempen politik, keganasan atau penindasan yang berlaku.

"Sebagai syarikat yang telah disenarai awam yang tidak bersifat politik, kami patuh sepenuhnya kepada polisi kami untuk tidak membuat sebarang sumbangan dan tajaan berbentuk politik,” katanya.