Exco Selangor dari PAS Dr Ahmad Yunus Hairi mengakui telah mengadakan pertemuan ringkas dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membincangkan isu pentadbiran negeri sekiranya terdapat exco yang meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, katanya, perjumpaan tidak rasmi itu hanya berlangsung sebentar sahaja dan tidak menyentuh persoalan mendalam atau perubahan dasar negeri.

"Tak ada apa perbincangan mendalam atau apa-apa keputusan, cuma berjumpa dua-tiga minit berbincang bagaimana Exco yang (mungkin) kekal ini bekerja untuk menguruskan negeri Selangor," kata beliau ketika ditemui wartawan di lobi bangunan kerajaan Selangor di Shah Alam hari ini.

Khalid semalam dilaporkan akan menemuduga Exco secara individu untuk mengetahui kesanggupan mereka bekerjasama dengan beliau.

Beliau turut berkata bahawa mereka boleh meletak jawatan sekiranya tidak ingin menyertai pasukan beliau.

Katanya, beliau hanya memerlukan empat orang Exco untuk menjalankan pentadbiran.

Barisan Exco sedia ada kini terdiri dari empat orang wakil dari PAS dan DAP dan tiga daripada PKR.

Yunus berkata beliau hanya berjumpa Khalid bersendirian kerana wakil PAS lain tiada di pejabat.

Beliau turut tidak mengetahui sama ada Exco parti lain telah meletakkan jawatan atau tidak.

"Setakat ini PAS masih tak letak jawatan (Saya) tak tahu (keputusan) DAP dan PKR," kata beliau.