SPRM akan teliti dakwaan salahlaku MB S'gor
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya telah menerima laporan berkaitan isu dakwaan salah laku terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
SPRM, katanya, akan meneliti perkara berkenaan.
Mohd Shukri tidak pula menyatakan pihak yang mengemukakan laporan itu.
"Kita akan tengok laporan itu, soal siasat tak siasat saya tak nak komen apa-apa, kerana ini isu politik dan tak sesuai SPRM terlibat dalam isu ini," katanya.
Mohd Shukri menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Laporan Tahunan SPRM 2013 dan Ulasan 2013 Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, di bangunan Parlimen hari ini.
Laporan itu dikemukakan oleh Abu Kassim kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Turut hadir anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) antaranya anggota Parlimen Indera Mahkota Datuk Fauzi Abd Rahman dan anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw.
Baru-baru ini, beberapa pembantu dari pejabat Menteri Besar Selangor meminta SPRM menyiasat Abdul Khalid mengenai sebarang tuduhan salah laku pentadbiran oleh PKR ke atasnya.
Mereka turut menyerahkan laporan PKR yang mengaitkan isu dakwaan rasuah terhadap MB Selangor itu kepada SPRM.
- Bernama

