Semua Exco PAS pun kekal buat masa ini
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad berkata barisan Exco PAS setakat ini masih menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, pendirian itu bergantung kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat 17 Ogos ini.
"Sekarang ini kita akan kekal sebagai Exco. Kira tunggu 17 (Ogos) ini kita akan buat keputusan. Sekarang PAS kekal sebagai Exco.
"Keputusan (mesyuarat PAS Pusat) tak dapat dijangka. Hanya Allah sahaja tahu," kata beliau ketika ditemui di Shah Alam hari ini.
Iskandar berkata PAS akan meneruskan kerja seperti biasa bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar
"Saya rasa bahawa sekarang ini kena teruskan kerja untuk memastikan rakyat dapat yang terbaik.
"Kita akur keputusan dan perkenan Sultan Selangor," kata beliau.
Iskandar juga mengesahkan bahawa beliau akan bertemu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini tetapi bukan untuk berbincang isu Exco.
"Hari ini mesyuarat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Kita tak bincang isu lain, hanya isu perumahan," kata beliau.
Arahan tutup mulut
Sementara itu bekas pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Othman berkata semua anggota PAS diarah tidak membincangkan isu tersebut sehingga mesyuarat 17 Ogos memutuskan perkara itu.
"Saya bukan pesuruhjaya lagi tetapi ada dapat surat arahan tutup mulut. Kita tunggu sehingga 17 Ogos nanti," kata beliau.
Beliau mengulangi pendapatnya bahawa PAS tidak menolak presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah hanya kerana beliau seorang wanita.
"Siapa kata PAS tidak mahu wanita jadi pemimpin?
"Kalau kita tidak mahu, kenapa kita letak (exco) Dr Halimah (Ali) dan Dr (Siti) Mariah (Mahmud) sebagai wakil rakyat?," katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau menyatakan secara peribadi bahawa PAS sepatutnya tidak berpisah dengan Pakatan Rakyat.

