'Hati-hati bila musuh puji kita, PAS'
Aktivis PAS semakin resah memikirkan kemungkinan berlaku keretakan dalam parti itu ekoran krisis menteri besar Selangor, terutama selepas pemecatan semua exco PKR dan DAP oleh Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.
Datuk Tamrin Ghafar, anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba, juga mengingatkan parti itu supaya berhati-hati, lebih-lebih lagi apabila pihak “musuh” mula memuji parti itu.
“Berhati-hatilah apabila musuh mulai memuji kita.
"Pada saya Khalid bukan justifikasi sehingga kita boleh berpecah dan berpisah,” katanya yang juga bekas anggota parlimen Batu Berendam.
Umno kini mengambil pendirian menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar manakala PAS masih belum membuat pendirian dan hanya akan memutuskannya pada 17 Ogos ini.
Pentadbiran Khalid kini hanya berfungsi dengan empat exco daripada PAS selepas penyingkiran wakil DAP dan PKR yang kuat mengkritiknya.
Dalam kenyataannya hari ini, Tamrin berkata, keretakan tidak harus berlalu memandangkan Khalid yang mahu dikeluarkan tidak pun mempunyai parti lagi selepas dipecat PKR.
“Mungkin Allah SWT nak tunjukkan kita siapa sebenarnya Khalid. Apakah dia ini musang berbulu ayam,” katanya lagi.
Mengingatkan krisis yang berlaku sebagai ujian besar, beliau mengingatkan supaya semua pihak mengakui kesilapan masing-masing dan “membuang yang keruh dan mengambil yang jernih”.

