Tokoh sastera kritik utamakan keturunan Mahsuri
Dua orang Sasterawan Negara hari ini mengkritik penghargaan berlebihan kerajaan kepada keturunan ketujuh legenda Mahsuri.
Datuk Shahnon Ahmad menyifatkan langkah kerajaan memberikan liputan meluas terhadap Wan Aishah Wan Nawawi sebagai "politik murahan". Sementara A. Samad Said menganggap tindakan itu sebagai "benda yang kecil terlalu dibesar-besarkan."
Dua orang Sasterawan Negara hari ini mengkritik penghargaan berlebihan kerajaan kepada keturunan ketujuh legenda Mahsuri.
Datuk Shahnon Ahmad menyifatkan langkah kerajaan memberikan liputan meluas terhadap Wan Aishah Wan Nawawi sebagai "politik murahan". Sementara A. Samad Said menganggap tindakan itu sebagai "benda yang kecil terlalu dibesar-besarkan."
Gadis berusia 14 tahun itu ditawarkan hak kerakyatan, kemudahan tempat tinggal dan peluang melanjutkan pelajaran di Malaysia. Tawaran daripada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir dibuat dalam satu majlis pengkisahan Mahsuri di Langkawi pada 30 Mei sehingga 2 Jun lalu.
Dalam majlis tersebut, 'Tabung Pendidikan Aishah' turut dilancarkan oleh Kumpulan Utusan. Setakat ini kumpulan itu berjaya mengumpulkan sejumlah RM15,000. Menurut Utusan, dana pendidikan itu akan diteruskan sehingga Aishah melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
"(Tindakan itu) demi politik murahan," kata Shahnon, yang juga wakil rakyat kawasan parlimen Sik, ketika diminta mengulas sikap kerajaan itu jika dibandingkan penghargaannya yang tidak serius kepada sebilangan besar tokoh budayawan negara ini.
Legenda Mahsuri yang masyhur di pulau pelancongan itu membuatkan "masyarakat akan cepat terpesona" untuk menyokong usaha-usaha kerajaan tersebut, tambahnya.
Sementara itu, Pak Samad pula berkata beliau tidak menghalang penghargaan kepada gadis yang menetap di Phuket, Thailand itu.
"Penghargaan yang diberikan kepada Aishah lebih digerakkan oleh keinginan memperkenalkan Langkawi," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan itu sebagai memperbesar-besarkan perkara kecil dan kerajaan disifatkan tidak bertindak secara bijaksana.
"Benda yang kecil terlalu dibesar-besarkan. Benda besar daripada negeri sendiri dilupakan," kata Pak Samad sinis.
Sasterawan Negara itu mengejutkan negara apabila mengisytiharkan persaraan pada 29 April lalu setelah sebuah agensi kerajaan gagal memberikan perhatian terhadap tuntutan bayaran royaltinya.

