Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB minta Khazanah timbang hasrat jual Silterra
Diterbitkan:  Aug 14, 2014 9:22 AM
Dikemaskini: 8:07 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir meminta Khazanah Nasional Berhad supaya pertimbangkan semula hasrat penjualan syarikat, Silterra Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat fabrikasi wafer tempatan yang beroperasi di Kulim Hi-Tech Park, kepada pihak asing.

    

"Walaupun saya faham tekanan kewangan yang dihadapi oleh pihak Khazanah yang telah melangsaikan sukuk berkait dengan Silterra bernilai RM4.5bil, dan kelangsungan operasi kilang teknologi tinggi seperti ini melibatkan belanja sebanyak berbilion ringgit setiap beberapa tahun.

    

"Saya masih rasa terlalu berat untuk melepaskan kepentingan Malaysia kepada negara asing dalam syarikat 'home grown' kebanggaan kita ini," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Sultan Kedah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) malam tadi.

    

Beliau juga memberitahu tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang membandingkan jumlah pelaburan antara kedua-dua negeri itu dengan fakta yang tidak tepat tidak sepatutnya berlaku.

    

Katanya Kedah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam menarik pelaburan yang bukan sahaja membabitkan sektor pembuatan tetapi juga sektor perkhidmatan.

Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan Kedah sedang membangunkan kawasan warisan Tamadun Kedah Tua di Sungai Batu, Merbok, sebagai tarikan pelancongan yang dapat menjana pendapatan lumayan kepada negeri.

    

Persidangan dewan yang berakhir hampir pukul 12 tengah malam ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS