Kerajaan negeri telah menerima surat rasmi peletakan jawatan Rodziah Ismail sebagai ahli exco, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Kita telah menerima surat rasmi peletakan jawatan daripada ADUN Batu 3, YB Rodziah Ismail sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang berkuatkuasa hari ini," kata Khalid dalam satu kenyataan.
"Peletakan jawatan YB Rodziah Ismail ini adalah sah mengikut Artikel 53 (7) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menyatakan mana-mana Ahli Majlis MMKN boleh meletak jawatan pada bila-bila masa.
"Kita mengucapkan terima kasih kepada YB Rodziah Ismail di atas sumbangan dan khidmat yang diberikan sepanjang menjadi EXCO Kerajaan Selangor," katanya.
agi tadi, Exco Selangor Dr Halimah Ali dilaporkan berkata Rodziah dipecat selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).
"Surat (pecat Rodziah) akan (keluar), sama macam (Exco PKR dan DAP) yang lain," kata beliau ketika ditemui pemberita di lobi bangunan pentadbiran kerajaan di Shah Alam hari ini.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor Arfa'eza Aziz menjelaskan bahawa Rodziah tidak dipecat daripada jawatan Exco Selangor hari ini.
Sebaliknya beliau menjelaskan bahawa Rodziah meletakkan jawatan beliau.
"Rodziah tidak dipecat, beliau sendiri meletakkan jawatan," kata beliau kepada Malaysiakini sebentar tadi.
Rodziah ketika ditemui Malaysiakini semalam berkata beliau setia bersama PKR dan Pakatan Rakyat.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Rodziah mengulangi penegasan untuk bersama Pakatan Rakyat di Selangor dan memelihara amanah rakyat Selangor yg telah memilih Pakatan sebagai gagasan yang wajar memerintah Selangor.
Amanah itu, tegasnya, adalah kepentingan yang akan beliau utamakan.
'Dengan ini, saya meletakkan jawatan saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor. Surat berkaitan telah diserahkan kepada Pejabat Tan Sri Khalid Ibrahim tengahari tadi.
'Tindakan saya ini merupakan solidariti terhadap teman-teman yang sebelum ini telah dipecat dari jawatan exco masing-masing oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dan untuk menangkis kemungkinan berbagai spekulasi terhadap diri saya. Saya membuat keputusan sedemikian dengan penuh kesedaran," katanya.
