Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ADUN Temiang, Ng Chin Tsai kecewa dengan tindakan Speaker DUN Negeri Sembilan yang menolak lapan daripada 13 soalan yang ingin dikemukakannya dalam persidangan Dewan yang akan bermula pada 18 Ogos.

ADUN DAP itu hairan dengan tindakan tersebut memandangkan soalan yang ingin diajukannya itu tidak berunsur sensitif yang menyentuh agama, parti atau mana-mana pihak.

“Soalan tersebut hanya berkisar tentang masalah rakyat di sekitar Temiang dan peruntukan kerajaan negeri.

“Saya kecewa lapan soalan tersebut ditolak tanpa alasan munasabah. Ini bermakna hanya dua soalan lisan dan tiga soalan bertulis dibenarkan Speaker.

“Isu ini bukan kali pertama berlaku, malah pernah berlaku sebelum ini terutama membabitkan wakil rakyat pembangkang,” katanya.

Persidangan cuma sehari

Ng bimbang sekiranya tindakan itu menyebabkan DUN Negeri Sembilan dilihat mundur berbanding di negeri lain kerana menjalankan persidangan sekadar untuk mematuhi syarat.

Jelasnya, persidangan itu sepatutnya menjadi wadah bagi ADUN mengutarakan masalah rakyat dan mendapat maklum balas segera dari kerajaan negeri.

“Jika perkara ini berterusan, persidangan DUN Negeri Sembilan adalah paling teruk dan terkebelakang berbanding persidangan DUN negeri lain.

“Mungkin kerajaan negeri melihat persidangan DUN hanya untuk mematuhi syarat, di mana persidangan DUN perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, untuk mengelakkan pembubaran DUN, bukannya melihat sebagai tempat untuk membahas masalah rakyat,” katanya.

Katanya, kerajaan juga seolah-olah tidak ikhlas dalam mengadakan persidangan DUN kerana hanya memperuntukan tempoh sehari untuk bersidang.

“(Nampak) seolah-olah tidak ikhlas, apabila ini kali kedua persidangan DUN berlangsung hanya sehari. Sebelum ini pada persidangan terakhir pada bulan April, persidangan DUN berlangsung sehari juga.

“Sedangkan isu rakyat begitu banyak yang perlu dibincangkan di dalam dewan,” kata Ng.

Sejumlah 22 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan dikuasai BN, manakala selebihnya 11 dikuasai DAP dan tiga diwakili PKR.

Lihat Komen
ADS