DAP: Khalid salahguna guna media k'jaan
DAP mendakwa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahgunakan jentera kerajaan negeri demi kepentingan agenda politik peribadinya.
Tiga ADUN DAP yang muncul dalam satu sidang media hari ini mendakwa, Khalid menggunakan Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, untuk menyebarkan propaganda bagi membolehkan Khalid kekal sebagai menteri besar.
Mereka antara lainnya membangkitkan kandungan lidah rasmi kerajaan negeri, Selangorkini, yang antara lainnya menonjolkan bahawa: "Rakyat Selangor semakin bijak berpolitik kerana tidak lagi mementingkan ideologi parti politik sebaliknya mengutamakan integriti dan prestasi seseorang pemimpin".
Sebaliknya, rakyat di negeri itu kini lebih mengutamakan kewibawaan pemimpin, lapor Selangorkini.
ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendakwa penerbitan seperti itu merupakan satu usaha untuk memberi alasan yang kuat bagi mengekalkan kedudukan Khalid.
Sidang media itu turut disertai oleh ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.
Mereka menuntut agar kesemua 56 pusat khidmat Pakatan Rakyat Selangor menghentikan pengedaran bahan penerbitan itu.
"CCSB tidak harus membazirkan sumber untuk mencetak Selangorkini lagi, kerana kita tidak akan mengedarkannya.
“Kami akan menghantar bahan propaganda ini ke pusat kitar semula,” katanya.

