Ekoran bantahan pemimpinnya di Pahang, PERKASA menjelaskan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang tetapi tidak melarang mana-mana anggotanya menjadi calon.

Setiausaha agungnya Syed Hassan Syed Ali ( bawah ) berkata, PERKASA hanya akan mengadakan program memperjelaskan isu-isu tertentu bagi menyedarkan masyarakat Melayu agar tidak salah memilih parti.

“PERKASA tidak akan mengambil bahagian bertanding dalam pihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang Dipertuanya Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap dilaporkan berkata, perkara itu dimaklumkan melalui surat daripada ketua penerangan Perkasa Hassan Basri bertarikh 10 Julai.

Harian itu melaporkan Wahid sebagai berkata, mereka sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi tidak menjadi sebuah badan politik.

“PERKASA Pahang tidak dapat menerima sama sekali keputusan ini kerana perjuangan asalnya adalah untuk Islam, hak orang Melayu dan Institusi Raja-raja,” beliau dilapor sebagai berkata kepada media di Kuantan, kelmarin.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed Hassan juga berkata, tiada keputusan daripada pimpinan tertinggi PERKASA untuk menjadikan NGO itu parti politik.

"PERKASA akan kekal menjadi sebuah NGO Melayu yang paling relevan bertambah pula keahlian PERKASA seluruh negara telah mencapai hampir 600,000 orang.

“Tiada perbincangan mahupun keputusan dibuat oleh pimpinan tertinggi PERKASA untuk PERKASA menjadi sebuah parti politik. Tidak sama sekali.

"PERKASA akan terus bersuara lantang tanpa rasa takut dengan kritikan, cemuhan dan serangan dengan bahasa kasar oleh sesiapa sahaja demi mempertahan hak orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian Islam yang berterusan dipersoalkan dan dihina oleh pihak-pihak tertentu," katanya.

Kepimpinan baru di Pahang

Syed Hassan berkata, PERKASA Pahang kini akan bergerak dengan kepimpinan baru yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"PERKASA Pahang akan terus bergerak dengan kepimpinan baru. Barisan pimpinan baru akan diumumkan tidak lama lagi.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan PERKASA Pahang yang kekal untuk berundur kerana telah banyak menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit sepanjang bersama PERKASA," katanya lagi.