2 nama PAS letakkan PKR dalam dilema
Keputusan PAS mengetengahkan dua nama sebagai calon pengganti Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini meletakkan PKR dalam dilema.
Sejak 21 Julai lalu, PKR menegaskan presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon tunggalnya ketika PAS ketika itu berdiri teguh di belakang Khalid.
Bagaimanapun PAS hari ini menegaskan kesetiaan mereka bersama Pakatan Rakyat.
Persoalannya, adakah PKR juga akan bertegas dengan Azizah sebagai calon semata-mata, memandangkan nama kedua dicalonkan PAS, Azmin Ali adalah orang nombor dua dalam PKR sendiri?
Terima atau tidak, langkah PAS hari ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada Pakatan untuk mengemukakan dua nama untuk diperkenankan pihak istana.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga sebelum ini didakwa “mendengar” bahawa pihak istana menolak Azizah sebagai menteri besar baru.

