Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang sepatutnya diadakan di Dewan Jubli Perak di Shah Alam pada 8 pagi ini dibatalkan pada saat akhir.

Pejabat Menteri Besar memaklumkannya jam 7.40 pagi tadi menerusi emel kepada media dan wartawan yang bertugas.

Emel tersebut bagaimanapun tidak menyatakan sebab spesifik pembatalan saat terakhir itu.

"Program Perhimpunan Bulanan yang dijadualkan pada pagi Isnin 18 Ogos anjuran Yayasan Selangor dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan," kata sekretariat akhbar dalam satu kenyataan pagi tadi.

Sementara itu sumber dari pejabat Menteri Besar menyatakan majlis itu dibatalkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi lewat malam semalam tanpa memberitahu sebab.

Para wartawan bagaimanapun masih menanti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di perkarangan bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Rakyat bersetuju agar Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar menggantikan Khalid.