Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Muhammad Zawani Nik Salleh berkata keputusan badan itu sebelum ini yang mahu mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar diputuskan ketika beliau masih menjadi ahli PKR.

Sehubungan itu beliau menjelaskan "tidak timbul" keputusan bercanggah antara Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS pusat, lapor Sinar Harian hari ini.

"Kami bukan tolak Khalid. Sekarang ini, apabila dia bukan ahli, maka parti kita yang duduk dalam Pakatan perlu bersama dengan Pakatan, menganggap dia ini lagi calon Pakatan.

"Perkara ini telahpun kita bincang dalam parti dan ia tidak bercanggah. Semua pihak setuju, Majlis Syura pun bersetuju sebagaimana yang diputuskan," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Laporan itu juga menyebut Nik Zawawi berkata parti itu mempunyai hak mengemukakan dua nama sebagai calon menteri besar sedangkan PKR menamakan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Itu hak parti masing-masing. Kita (PAS) berhak mengemukakan dua calon, jadi kita kemukakan dua calon," katanya.

Beliau berkata mesyuarat Pakatan Rakyat petang semalam sekadar memberitahu keputusan PAS dan bukan membincangkan kedua-dua calon itu.