Exco: Khalid tak perlu letak jawatan sekarang
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu meletakkan jawatan beliau sebagai menteri besar pada waktu ini, kata Exco Selangor dari PAS Sallehen Mukhyi.
ADUN Sabak itu berkata sebaiknya Khalid meletakkan jawatan selepas Sultan Selangor kembali dari luar negara hujung bulan ini bagi mengelakkan masalah kepada pentadbiran negeri.
"Bagi saya dalam suasana kemelut politik ni, kita tak boleh untuk heret rakyat dalam keadaan kerajaan terpaksa dihentikan.
"Saya fikir biarlah masalah politik diselesaikan politik, sementara kerja untuk rakyat dijalankan seperti biasa," kata beliau ketika ditemui di Shah Alam hari ini.
Semalam Pakatan Rakyat memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sahaja sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid.
Bagaimanapun, sebelum itu, PAS pada tengah harinya telah mencalonkan satu lagi nama iaitu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali untuk dicalonkan sebagai menteri besar di samping Wan Azizah.
Mengulas hal itu, Sallehen berkata beliau menurut arahan PAS supaya meneruskan tugas bekerjasama dengan Khalid sehinggalah Sultan memperkenankan menteri besar baru.
"Dalam kenyataaan dia (Khalid) semalam, dia terima keputusan PAS.
"Apa-apa pun mesti dari Tuanku, kalau dia letak jawatan hanya menyusahkan rakyat, biarlah tunggu sehingga sultan balik.
"Exco PAS boleh kerjasama dengan Khalid sehingga dapat MB baru," katanya.

