Exco ganti MB bertemu pemain bola sepak
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak hadir di satu lagi program beliau hari ini di Kelab Shah Alam untuk sesi bertemu pemain bolasepak Selangor.
Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi memaklumkan kepada petugas media yang menunggunya di situ bahawa Khalid tidak dapat hadir.
Yunus yang juga pengerusi pembangunan belia dan sukan Selangor berkata beliau menggantikan Khalid di majlis itu.
Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas berkaitan pentadbiran Khalid atau berkaitan titah Sultan Selangor untuk menemui Khalid selepas baginda kembali ke tanah air.
"Saya akan terus bekerja dengan gigih," kata Yunus ketika ditanya mengenai status beliau sebagai exco.
Pagi ini, Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang sepatutnya diadakan di Dewan Jubli Perak di Shah Alam pada 8 pagi ini dibatalkan pada saat akhir.
Pejabat Menteri Besar memaklumkan mengenainya pada jam 7.40 pagi tadi menerusi emel kepada media dan wartawan yang bertugas.
Emel tersebut tidak menyatakan sebab pembatalan saat terakhir tersebut.

