Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa melindungi perasuah dan menghalang perjalanan proses keadilan.

Laporan itu diasaskan pada keterangan yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Shafie Yahaya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

"Keterangan terbaru (itu) memperkukuh hujah saya selama ini bahawa Dr Mahathir adalah perasuah besar dan pelindung utama perasuah besar lainnya," lapor Anwar di Balai Polis Jalan Stadium hari ini.

Menurut laporan itu, Shafie dipanggil dan dimarahi Dr Mahathir di pejabatnya pada Jun 1998 kerana menggeledah pejabat Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman (gambar), dan menemui sejumlah RM100,000 wang tunai.

Perdana Menteri juga mengarahkan bekas Ketua Pengarah BPR itu menghentikan siasatan tersebut serta merta, laporan polis itu dipetik.

Kata Anwar, Shafie berasa kecewa terhadap Perdana Menteri kerana sanggup melindungi perasuh.

Laporan bertulisan tangan setebal lima halaman itu menggesa polis dan BPR menyegerakan siasatan.

"Imej polis dan BPR akan lebih tercemar sekiranya mereka terus melengah tindakan dan berdalih; padahal bukti dan keterangan adalah nyata," kata Anwar dalam laporan itu.

Anwar berkata perbuatan melindungi perasuah dan menghalang perjalanan proses keadilan adalah satu kesalahan di bawah Ordinan 22 Akta Darurat 1960 dan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

"Sebab (kesalahan) itulah, maka media (massa) utama menggelapkan berita tersebut," tambah Anwar.

"Janganlah Dr. Mahathir dianggap kebal dari segi undang-undang dan dibiarkan bermaharajalela," katanya lagi.

"Beliau (Perdana Menteri) terus berpura-pura, bersuara gagah menentang rasuah," kata Anwar.

Beliau juga menuduh Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah tidak berwibawa kerana gagal menyempurnakan tugas.

"Beliau dan jabatannya gentar dengan penguasa perasuah, tidak berani bertindak dan bersekongkol dengan usaha melindungi perasuah besar yang mengkhianati amanah dan kepentingan negara," kata Anwar dalam laporan polis itu, meneruskan kecamannya seperti sebelum ini.