Berita Malaysiakini

Fail petisyen rayuan untuk bersih nama Karpal

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Keluarga Karpal Singh hari ini memfailkan petisyen rayuan dalam usaha membersihkan nama mendiang dalam satu kes hasutan terhadap Sultan Perak.

    

Pestisyen itu difailkan peguam Zaleha Al-Hayat daripada Tetuan Karpal Singh & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

    

Pada 21 Feb lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman denda RM4,000 terhadap mendiang bagi kesalahan menghasut kerana mempersoal tindakan Sultan Perak menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2009.

    

Karpal Singh, 73, didakwa melakukan kesalahan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Feb 2009.

    

Antara lain, petisyen itu menyatakan Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana gagal mempertimbang pembelaan mendiang iaitu keputusan Sultan Perak boleh dicabar dan undang-undang di negara ini membenarkan tindakan perundangan diambil terhadap baginda.

Petisyen itu juga menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbang fakta bahawa pertuduhan terhadap bekas Pengerusi DAP dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor berkenaan adalah cacat kerana tidak menunjukkan dengan jelas di bawah peruntukan mana mengikut Akta Hasutan 1948 kenyataan Karpal Singh dianggap mempunyai unsur hasutan.

    

Pada 17 April lepas, Karpal Singh dan pembantu peribadinya, Michael Cornelius, maut dalam nahas pada 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan laluan arah utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar.

    

Berikutan itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menarik balik rayuan balas bagi hukuman lebih berat terhadap Karpal Singh.

    

Bagaimanapun, keluarga mendiang berhasrat meneruskan rayuan dalam kes itu bagi membersihkan namanya.

    

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan mengarahkan agar seorang pengganti dinamakan bagi membolehkan rayuan itu diteruskan dan anak mendiang iaitu Ramkarpal Singh memaklumkan bahawa ibunya, Gurmit Kaur, akan dinamakan kerana beliau adalah pentadbir harta pusaka Karpal Singh.

    

Mahkamah berkenaan menetapkan 12 September ini untuk pengurusan kes bagi rayuan berkenaan.

    

-Bernama