Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Johari Abdul berkata beliau akan mempertahankan sistem "satu ahli satu undi" yang digunapakai parti itu sejak 2010.

Beliau yang juga MP Sungai Petani, sistem tersebut merupakan "sistem terbaik dan paling demokratik" namun perlu penambahbaikan supaya menjadi lebih praktikal.

"Saya akan pertahankan sistem itu. Itu sistem terbaik. Maknanya anggota terlibat secara langsung tapi harus memastikan sistem itu boleh dipraktikkan.

"Kerangka, niat dan nawaitu itu baik tapi bagaimana kita nak terjemahkannya," kata beliau.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan akan mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah yang timbul dalam perjalanan pemilihan parti itu.

Katanya, pemilihan yang berlarutan lebih lima bulan itu antara lainnya berpunca dari kelemahan dari segi infrastruktur, kelengkapan dan aset, dan tatatertib anggota serta pemimpin parti.

Sementara hari ini pula Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengakui kelemahan pemilihan PKR ini.

Pada pemilihan yang berlangsung selama lima bulan yang baru berakhir minggu ini menyaksikan pelbagai insiden termasuk pemilihan semula di 26 dari 32 cabang bermasalah seluruh negara.

Justeru Johari meminta masa tiga bulan untuk mendapatkan data dari akar umbi dan negeri untuk mengkaji penambahbaikan yang boleh diimplementasi parti.

"Saya bukan saja ada masa yang cukup untuk perbaiki tapi (juga) untuk 'overhaul' semua sekalilah, sebab saya rasa, memang ia diperlukan untuk kenalpasti adanya masalah," katanya.