Mahkamah: Nizar dituduh memfitnah Najib
Bekas menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 2012.
Beliau didakwa mengikut seksyen jarang digunakan, Seksyen 500
Kanun Keseksaan kerana dituduh melakukan fitnah jenayah.
Jika didapati bersalah, Nizar yang juga ADUN Changkat Jering ADUN berdepan dengan hukuman dua tahun penjara maksimum, denda atau kedua-duanya.
Nizar didakwa di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mahkamah juga menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 September ini untuk sebutan kes itu. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan, Nizar, 57, yang beralamat di Sungai Rokam di Ipoh dituduh memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di Ipoh antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.
Nizar yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Perak, didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Asmuni Awi yang mewakili Mohammad Nizar memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan sebarang jaminan kerana sebagai ketua pembangkang negeri Perak beliau akan memberi kerjasama kepada pihak pendakwaan.
"Jika permohonan ini ditolak saya memohon supaya jaminan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah," katanya.
Masri kemudian bangun dan menyatakan jaminan dipohon pihak pendakwaan adalah satu jumlah yang wajar.
Nizar diwakili 11 peguam iaitu Asmuni, Aminuddin Zulkipli, Mohd Fitri Asmuni, M. Kulasegaran, Nga Hock Cheh, N. Selvam, A. Sivanesan, Mohammad Hanifa Maidin, Leong Cheok Keng, Mohammad Zamri Ibrahim dan Chan Sook Ching .
Pihak pendakwaan diwakili Masri yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.

