Masjid nafi terima sumbangan mangsa MH17
Pihak pengurusan Masjid Darul Falah Kampung Penan Muslim Batu 10 di Bintulu hari ini menafikan dakwaan tersebar dalam media sosial bahawa masjid itu menerima sumbangan "berbelas ribu ringgit" daripada salah seorang mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Pengerusinya Abu Amin Rosli meminta semua pihak berhenti menyebarkan maklumat palsu itu dalam media sosial.
"Saya dah kemas kini buku akaun Masjid Darul Falah di Bank Islam hari ini dan berhubung dengan pihak Jabatan Agama Islam Bintulu dan mendapati tiada sumbangan kewangan seperti disebar dalam media sosial," katanya kepada Bernama hari ini.
Abu Amin yang mengakui terkejut dengan dakwaan tersebut memberi amaran akan membuat laporan polis sekiranya maklumat tersebut masih disebar dalam media sosial kerana ini boleh menjejaskan imej Masjid Darul Falah.
"Saya harap penjelasan sebenar yang dibuat ini dapat menjelaskan segala kekeliruan berlaku akibat penyebaran maklumat palsu ini," katanya.
Maklumat palsu tersebut mendakwa Allahyarham Tambi Jiee memberi sumbangan "berbelas ribu ringgit" kepada masjid tersebut kira-kira dua tahun lepas sehingga membolehkan masjid yang uzur tersebut diubah suai menjadi lebih cantik.
- Bernama

