Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohamed Khusrin Munawi hari ini membangkitkan isu penamatan perkhidmatan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat anak syarikat kerajaan negeri (GLC) awal tahun ini.

Tanpa menyebut secara khusus bekas lembaga pengarah dan GLC itu, Khusrin berkata, penamatan tugas itu disensasikan media ekoran kesalahan tindakan mengeluarkan kenyataan media tanpa kelulusan atasan.

"(Perkara itu) sehingga pelbagai spekulasi dan cerita tidak betul tersebar.

"Ini berlaku kerana kenyataan media telah dikeluarkan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak atasan," katanya.

Ucapan beliau dalam majlis pelancaran program penjenamaan komunikasi korporat Selangor di Universiti Selangor (Unisel) itu dibacakan oleh timbalannya Datuk Mohamad Roslan Sakiman ( kiri ).

Sementara itu, ucapan Khusrin juga menegaskan, kenyataan media yang dikeluarkan harus diteliti ketua jabatan masing-masing untuk mengelakkan percanggahan maklumat atau diputar belitkan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Majlis itu dihadiri kira-kira 200 kakitangan bahagian komunikasi korporat di seluruh Selangor.

Ia turut diakhiri dengan tayangan montaj mengenang salah seorang mantan pegawai perhubungan awam dan korporat Media Selangorku Mansor Abu Bakar yang meninggal dunia April lalu.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini .