BERITA

Nik Aziz harap keputusan sultan manfaat semua pihak

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Ogs 2014, 2:00 pagi

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengharapkan keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor semalam dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Bekas menteri besar Kelantan itu dalam reaksi ringkasnya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di Kota Bharu turut berharap mudah-mudahan keputusan itu dapat memberikan manfaat di dunia dan di akhirat.

"Berdoalah kepada Allah sebanyaknya mudah-mudahan keputusan yang dibuat Istana itu dapat memberi manfaat dunia dan akhirat, Insya-Allah," katanya.

Semalam Sultan Selangor menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor sehingga pelantikan baru ditentukan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menerima menghadap Abdul Khalid yang menyembah hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Keputusan baginda itu mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur.

Selain itu Sultan Selangor juga menitahkan agar setiap parti dalam Pakatan Rakyat masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baru.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.