MP PKR hari ini bercadang untuk membentangkan usul tergempar pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi memansuhkan Akta Hasutan.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata ia akan menghantar "isyarat jelas suara rakyat" kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak itu bagi mengekang ahli politik Pakatan Rakyat dan ahli akademik yang tidak sependapat dengannya.

"Ahli-ahli Parlimen PKR akan membawa usul tergempar di dalam sidang Parlimen akan datang untuk memansuhkan serta-merta Akta Hasutan," kata Rafizi pada sidang media petang ini.

"Walaupun Datuk Seri Najib mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan beberapa tahun lalu, pentadbiran beliau secara berterusan menggunakan akta tersebut untuk mengekang suara yang berbeza pendapat dengan pentadbiran beliau," katanya

Rafizi dan MP PKR lain yakin Najib tidak berhasrat memansuhkan akta itu dan akan terus menggunakan peruntukan dalam akta lain untuk menekan mereka yang tidak sealiran dengan kerajaan.

 

Mengulas lanjut, Rafizi berkata mereka akan mengenakan tekanan secukupnya kepada speaker Dewan Rakyat bagi memastikan usul itu dapat dibentangkan.

"Sidang akan datang adalah selama dua bulan. Jadi kalau speaker cuba tak masukkan usul dalam peraturan mesyuarat, mereka perlu menghadap kami selama dua bulan," kata Rafizi.

Turut hadir pada sidang media itu Nurul Izzah Anwar (MP Pantai Dalam), Sivarasa Rasiah (Subang), Wong Chen (Kelana Jaya), Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), Tian Chua (Batu), Shamsul Iskandar Md Akin (Bukit Katil).