Imigresen: Aktivis anti-Lynas NZ dilayan baik
Jabatan Imigresen menjelaskan, aktivis anti-Lynas daripada New Zealand Natalie Lowrey yang disekat memasuki Malaysia pada 31 Ogos lalu dilayan dengan baik.
“Beliau telah dilayan dengan baik sementara menunggu pihak AirAsia menguruskan penerbangan untuk menghantar beliau ke Bali semula.
“Penerbangan AirAsia bertanggungjawab untuk menguruskan penerbangan balik dan juga makan minum beliau semasa menunggu pesawat,” kata ketua pengarah imigresen Datuk Aloyah Mamat ( kiri ).
Lowrey dihantar ke Bali, Indonesia pada 1 September dengan penerbangan AirAsia pada jam 9.45 pagi.
Aloyah menjelaskan, Lowrey dihantar ke Bali walaupun mahu ke Sydney, Australia kerana prosedur antarabangsa menetapkan pihak yang ditolak kemasukan mesti dihantar ke lapangan terbang yang dinaikinya semasa hendak masuk.
Jabatan Imigresen sekali gus turut menyangkal laporan berita bahawa Lowrey dilayan dengan buruk semasa menunggu penghantaran semula ke Bali.
Peguam Lowrey ( kanan ), Farhana Halim, sebelum ini mendakwa, anak guamnya idak diberikan makanan dan minuman ketika ditahan.
Aktivis 42 tahun itu seorang penduduk tetap di Australia dan bercadang tinggal ti Malaysia antara tiga hingga empat minggu bagi memerhatikan kempen anti-Lynas, menurut kumpulan Himpunan Hijau.
Dalam kenyataannya hari ini, Aloyah menjelaskan, Lowrey disekat memasuki negara ini berdasarkan arahan dalam Notis Penolakan Masuk, Seksyen 8, Akta Imigresen 1959/63.
Katanya juga, pegawai imigresen melaksanakan proses pengurusan penolakan kemasukan Lowrey mengikut Prosedur Operasi Piawai (SOP) ditetapkan.

