mk-logo
Berita
Perjanjian penuh air S'gor dimaterai hujung minggu

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perjanjian penuh untuk mengambil alih industri air dengan Selangor bakal dimaterai sama ada pada hujung minggu ini atau minggu hadapan.

Menteri besar interim Selangor itu mendedahkan perbincangan antara beliau dan kerajaan pusat kini sudah mencapai fasa terakhir dan Selangor bakal mengambil alih semua syarikat konsesi air di negeri itu.

"Perjanjian kini dalam fasa terakhir sebelum ditandatangani. Kita akan tandatangani sama ada hujung minggu ini atau minggu hadapan," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco hari ini.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor pada 2 Ogos lalu menandatangani perjanjian dasar induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor.

Perjanjian tersebut ditandatangani Khalid dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan persekutuan.

Perjanjian berkenaan adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 26 Februari berkaitan pembinaan loji rawatan di Hulu Langat Selangor.

Khalid sebelum ini menemui Ongkili Jumaat lalu ini bagi membincang keputusan terakhir ketiga-kiga syarikat konsesi yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM 9.65 bilion oleh kerajaan Selangor.

Ketiga-tiga syarikat itu iaitu, Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abbass Sdn Bhd (Abbas) telah pun bersetuju dengan tawaran yang diterima tetapi belum menandatangani perjanjian hitam putih untuk diserahkan di bawah pentadbiran baru.

Satu lagi iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) pula menolak tawaran tersebut.

Bagaimanapun hari ini Khalid mengesahkan semua pihak bersetuju menguatkuasakan Akta Perkhidmatan dan Industri Air (WSIA) bagi membawa Splash bersama mereka.

"Sebahagian perjanjian ini telah diterangkan sebelum ini. Kita akan letak ruang untuk kuatkuasakan WSIA," kata beliau.

Pengambilalihan itu kemudiannya diletakkan di bawah satu syarikat konsortium air iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat milik penuh kerajaan Selangor.

Sebelum ini Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) berkata Perjanjian dasar induk penstrukturan semula air Selangor tidak akan terjejas walaupun tanpa penyertaan Splash.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini