Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan
Arahan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dilanjutkan berkuatkuasa esok (4 September) sehingga 19 September, bermula pukul 7 malam hingga 5 pagi, demikian diisytiharkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman hari ini.
Beliau berkata lanjutan perintah berkurung yang memasuki fasa keempat itu berdasarkan empat faktor iaitu mencegah aktiviti pencerobohan dan penculikan dan cubaan menganggu-gugat keselamatan nelayan; mencegah sebarang kegiatan penyeludupan termasuk senjata api, minyak, barangan bercukai serta dadah; sokongan pengusaha pelancongan serta sangkar ikan diikuti keyakinan pelancong; dan memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan di kawasan berkenaan.
"Arahan perintah berkurung yang dikuat kuasa di perairan enam daerah di ESSZone itu dapat menyebabkan aktiviti penyeludupan manusia dapat dibendung dan disekat terutama kemasukan pendatang asing tanpa izin, kalau tidak 100 peratus tetapi hampir 80 peratus dapat dilumpuhkan kemasukan pergerakan manusia," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Mengikut undang-undang sedia ada, Pesuruhjaya Polis mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perintah berkurung untuk tempoh sehari, manakala Menteri Dalam Negeri boleh mengisytiharkan perintah berkurung selama 14 hari.
Jalaluddin berkata sepanjang tempoh fasa III perintah berkurung yang berakhir semalam, 92 tangkapan dilakukan yang melibatkan 23 kes kerana melanggar arahan perintah berkurung mengikut Seksyen 31 (2) Akta Polis 1967 termasuk 12 kes di bawah Akta Imigresen.
Katanya, sebanyak 20 individu turut dihadap ke mahkamah dengan dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM500 manakala selebihnya masih ditahan reman dan 16 individu dibebaskan.
Arahan perintah berkurung fasa pertama mula berkuatkuasa di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tg Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau sejak 19 Julai lepas, iaitu bermula dari 6 petang hingga 6 pagi, susulan insiden serangan kumpulan bersenjata ke atas dua anggota polis marin di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas.
Selepas itu, Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun mengumumkan pelanjutan arahan perintah berkurung fasa II yang berkuat kuasa pada 3 Ogos sehingga 18 Ogos.
Jalaluddin kemudian mengumumkan arahan perintah berkurung dilanjutkan, berkuat kuasa 19 Ogos sehingga semalam (2 Sept), dengan perubahan masa dari pukul 7 malam hingga 5 pagi.
Perintah berkurung itu merangkumi enam daerah di ESSZone iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.
Kawasan perintah berkurung tersebut bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121,270 batu nautika persegi.
- Bernama

