Wabak Ebola di Afrika Barat, kelemahan di zon Euro, permusuhan di Timur Ukraine dan ketidakstabilan di Timur Tengah boleh menjejaskan pertumbuhan syarikat penerbangan bagi baki 2014.

    

"Syarikat penerbangan bersedia untuk mencatatkan keuntungan kira-kira US$18 bilion (RM57.22 bilion) pada tahun ini. Tetapi itu adalah margin keuntungan bersih sebanyak 2.4 peratus yang tidak menyediakan banyak penampan.

     

"Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan meningkatkan sambungan dengan dasar mesra perniagaan berdasarkan cukai yang munasabah, infrastruktur cekap kos dan peraturan pintar," kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) Tony Tyler.

     

Tyler dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan oleh IATA hari ini, yang mendedahkan bahawa trafik penumpang global bagi Julai menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.3 peratus.

     

Pada 17 Julai 2014, penerbangan MH17 Malaysia Airlines, dengan 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai telah ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine timur berhampiran sempadan Rusia.

    

 Setakat ini tiada siapa yang mendakwa bertanggungjawab bagi perbuatan kejam itu.

- Bernama