Sebanyak RM2.3 juta hari ini disumbangkan untuk program pendidikan dan kebajikan kanak-kanak serta hospital di Gaza, Palestin.

Sumbangan disampaikan oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor kepada Mercy Malaysia, Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang akan mengusahakan program berkenaan di Gaza.

Rosmah yang juga penaung Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia berkata tabung kesejahteraan tersebut memberikan sumbangan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan kebajikan kanak-kanak di Gaza kepada Mercy Malaysia dan PGPF.

"Masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM750,000," katanya dalam ucapan sebelum penyerahan cek sumbangan kepada wakil setiap penerima di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Duta Palestin di Malaysia Dr Anwaral-Agha; isteri timbalan perdana menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Akaun Amanah Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia Datuk Othman Mahmood; Ahli Lembaga Pemegang Amanah PGPF Tan Sri Norian Mai dan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faezal Mohamed.

Rosmah berkata Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) menyampaikan sumbangan sebanyak USD50,000 (RM158,825) kepada Mercy Malaysia.

Sementara itu Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza @ JPM menyampaikan sumbangan berjumlah RM695,000 iaitu RM200,000 kepada Mercy Malaysia, PGPF (RM200,000) dan Mapim (RM295,000), katanya.

"Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza @ JPM telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JPM pada 20 Ogos lalu," kata Rosmah.

Katanya, pihak Mercy Malaysia telah mengenal pasti hospital di Gaza yang akan dibantu manakala sumbangan yang disalurkan kepada PGPF untuk membiayai projek-projek melibatkan aspek pendidikan khususnya kepada kanak-kanak.

"Apa yang penting kanak-kanak yang terkesan akibat bencana perang itu masih mendapat peluang pendidikan serta tidak dinafikan hak untuk belajar. Saya percaya kanak-kanak ini masih perlu diberikan semangat untuk terus belajar kerana akhirnya hanya dengan pendidikan sahajalah yang mampu membina masa depan yang lebih cerah.

"Saya telah dimaklumkan bahawa pihak PGPF telah mengenal pasti beberapa buah sekolah yang sesuai untuk menerima bantuan bagi membolehkan kanak-kanak Gaza ini belajar dalam suasana yang lebih baik," katanya.

- Bernama