Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS akui turut hantar nama calonnya
Diterbitkan:  Sep 4, 2014 4:43 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

PAS mengesahkan menghantar dua nama anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan satu daripada parti itu sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak menyebut nama ketiga-tiga ADUN berkenaan, lapor Harakahdaily .

"Buat masa ini nama itu biarlah dulu," katanya ketika dihubungi akhbar PAS itu.

Menurutnya, senarai nama itu dihantar terus oleh Pejabat Presiden PAS kepada istana Selangor.

Mustafa turut dilaporkan menjelaskan, PAS menghantar tiga nama kerana istana menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama.

Rakannya PAS dan DAP bagaimanapun hanya menghantar satu nama, iaitu Datuk Seri Wan Azizah Ismail, seperti dipersetujui dalam mesyuarat Pakatan Rakyat sebelum ini.

Pada 27 Ogos lalu, istana Selangor menghantar surat rasmi kepada PKR, PAS dan DAP yang menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama calon menteri besar sebelum 3 September.

Surat itu, menurut Harakahdaily , dialamatkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan salinan kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ia dilapor menyatakan mahukan calon itu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Lihat Komen
ADS